Tajuk: TEMBANG LINGSIR 2019
Platform: Youtube #horror
Menurut MITOS JAWA, lagu LINGSIR WENGI dipercayai berupaya untuk menyeru JIN, SYAITAN dan ROH GENTAYANGAN. Ada juga yang percaya lagu ini mampu untuk menyeru kehadiran KUNTILANAK. Namun kalau diselidik fakta disebalik kisah dan lagu ini sebenarnya ia digunakan sebagai mengusir ROH-ROH JAHAT dan melindungi diri daripada gangguan MAKHLUK HALUS serta ILMU HITAM dan lagu ini dicipta oleh Sunan Kalijaga.
Di dalam kisah filem yang diarahkan oleh Rizal Mantovani dan penulis Andhika Lazuardi ini, di mana lagu LINGSIR WENGI ini dilantunkan untuk mengusir kuasa mistik dan roh-roh jahat yang menganggu dan mengancam nyawa manusia.
“Jika saatnya tiba kelak, nyanyikan LINGSIR WENGI.”
Filem dimulakan dengan babak di mana seorang wanita bernama Nawang (lakonan Erlyn) sedang bermain gamelan sambil menyanyikan sebuah lagu yang kurang jelas apa lirik dan maksudnya, dalam suara yang terketar-ketar sambil menitiskan air mata itu tiba-tiba suasana di rumah itu berubah menjadi menyeramkan apabila munculnya akar-akar pokok kayu cuba untuk menjalar masuk dengan rakusnya. Kemudian tiba-tiba tangan dan jari jemari Nawang menjadi kejang dan tidak mampu untuk meneruskan bermain gamelan itu.
Disaat genting itu, anak perempuannya Mala (lakonan Marsha Aruan) berlari keluar dari bilik dan kebingungan tatkala melihat keadaan ibunya. Tiba-tiba akar-akar tadi muncul, menjalar, melilit dan menarik kaki Mala. Tanpa berlengah, Nawang segera mencapai lampu lilin dan melontarkan ia ke arah akar-akar yang sedang menarik Mala. Akhirnya Mala dapat diselamatkan, namun Nawang tahu peristiwa ngeri itu tidak akan tamat di situ sahaja.
REVIEW RINGKAS
Secara keseluruhannya, plot penceritaan filem ini agak menghiburkan dan beberapa babak seramnya berjaya mencetuskan beberapa saat “Jumpscares” yang pasti membuatkan orang sebelah anda terkejut dengan jeritan anda. Walaupun bagi sis jalan cerita filem ini ada sedikit kekurangan dan kurang menyengat namun ia dapat ditutup dengan persembahan yang memuaskan dari semua pelakonnya.
Dari babak akhir filem ini nanti kita juga akan dapat menyimpulkan bahawa filem ini sebenarnya cuba menyampaikan mesej yang kita perlu bersyukur seadanya, jangan bersikap materialistik, kebahagiaan itu bukanlah dinilai dari harta kebendaan.
7/10 dari sis untuk filem ini.
Penulis: Aireen Jualbagz Jaybee
Sumber: Facebook Movie Lovers Malaysia